Pages

Thursday, January 14, 2021

karipap sardin




Masa kecil-kecil dulu mak ada menyediakan kuih untuk dijual oleh saudara emak. Jadi saya memang ada teringin nak cuba buat karipap. Selepas selalu didesak, mak beralah dan membenarkan saya membantu mak membuat karipap sardin untuk dinikmati oleh ahli rumah. Apabila ditanya kenapa inti sardin yang dipilih mak, mak jawab sebab ayah suka karipap berinti sardin. Sudah bertahun berlalu, sebenarnya sudah lupa resepi karipap mak, tapi saya tak dapat lupakan reaksi ayah: Sedap!. Kebetulan ayah bukan seorang yang banyak mulut, kalau makanan yang ayah makan biasa-biasa saja pada pendapat ayah, biasanya hanya akan mendapat: ok..

Entah kenapa tiba-tiba mendapat mood nak buat karipap, mungkin sebab nak habiskan mentega yang takut hampir dengan tarikh tamat tempoh, Jadi saya pun mencari resepi karipap sardin di internet, tapi tiada inti yang menepati syarat mak. Mak pernah cakap walau inti sardin, perlu tumis dengan kari ikan, baru boleh dipanggil karipap. Akhirnya saya hanya cari resepi untuk kulit karipap, tapi tampa disedari saya telah alter resepi tersebut sebab sepeket tepung yang saya beli bukanlah 1kg, tapi hanya 850g.
Ini resepi karipap sardin saya



Bahan-bahan inti:
Sebiji bawang besar, dihiris halus
Sebiji kentang, didadu kecil atau disagat
Sebatang lobak merah sederhana besar. didadu kecil atau disagat
1 sudu besar serbuk kari ikan
1 sudu besar sos tiram
1 cawan besar air.
1 sudu besar cili boh (pilihan)
Ikan sardin dari setin besar sardin, dibuang sosnya dan dihancurkan
Garam dan gula secukup rasa. 

Kaedah siapkan inti:
Tumis bawang, lobak dan kentang hingga bawang lembut.
Tambahkan air, biarkan atas api kecil hingga air kering.
Tambahkan kari yang telah dijadikan pes dan cili boh .Tumis.
Tambahkan sos tiram.
Masukkan sardin dan tambah garam dan gula secukup rasa. 


Bahan-bahan kulit karipap:
850g tepung gandum
1 sudu besar garam
1 sudu kecil gula
1/2 cawan mentega
1 cawan minyak sayuran
+- 1 cawan air

Kaedah menyediakan kulit:
Campur bersama tepung, garam dan gula.
Di atas api kecil, cairkan mentega bersama-sama minyak
Tuang minyak ke campuran tepung tadi dan gaul rata. 
Tambahkan air sedikit-sedikit sambil menggaul doh hingga mendapat kelembutan yang dikehendaki. 

Perlukah saya menceritakan kaedah membuat karipap? Tak pandailah saya nak cerita dalam bentuk tulisan ini, saya minta anda cari kat youtube ye? Hehe. selamat mencuba.